Wednesday, March 18, 2015

Bab 5 : September

AWKWARD. CAPSLOCK. Gila janggal! Tak tahu nak pandang arah mana nak hilangkan rasa kebas di muka dia waktu ini. Kalih pandang kanan, mata Rio, Hairul dengan Danial tengah tunak pandang dia. Kalih pandang kiri, Adila tengah senyum kelat pandang dia.  Pandang belakang, rasanya macam dah nak berlubang kepala dia kesan pandangan tajam dari Ady. Pandang depan? Hati sendiri yang tidak mahu sebab ada rasa pedih di situ melihat Zayn dengan Layla duduk berdua. Yang Layla itu pun satu. Macamlah bangku itu tak cukup besar. Kenapa nak duduk menempel sebelah Zayn juga? Duduk jauh sikit tak boleh?
        Kiri, kanan, depan, belakang. Semua tak boleh nak pandang. Sudahnya dia pandang wedges yang tersarung di kaki. Hurmm…I need new shoes. Yang tersarung di kaki dah nampak lusuh pada pandangan mata dia.
        “Ehem…”
        Telinga dia menangkap bunyi orang berdeham. Angkat kepala, nampak muka Ady tengan pandang dia dengan pandangan semacam. Dia tak suka pandangan itu. Pandangan itu seolah-olah ada perkara yang ingin Ady tanyakan tapi perkara itu bukan hal yang menyenangkan hati Jazleen.
        “Apa hubungan kau dengan Abang Zayn?”
        Terus menusuk ke hati. Tak ada langsung mukadimah yang boleh buat dia nak bersiap sedia menerima soalan berbisa macam itu. Mujur bukan tengah minum air. Kalau tidak tak fasal-fasal ada adegan orang kena sembur dengan air terjadi.
        “Bakal abang ipar aku?” Jazleen sengih gaya orang tengah buat lawak tak berapa cerdik.
        Ady angkat kening. Not funny!
        “Kau memang dah kenal Abang Zayn kan?” Berkerut dahi si teman lelaki olok-olok. Dia bukannya buta lagi. Mesti ada sesuatu antara alongnya dengan Jazleen.
        Kalau nak ikutkan, sejak hari makan malam dulu lagi dia dah nampak ada sesuatu yang tak kena. Tapi dia cuba bersangka baik. Bila dia menangkap beberapa kali along mencuri pandang ke arah Jazleen, dia beranggapan along sekadar suka memandang sesuatu yang cantik. Bukannya ada niat apa-apa. Namun apa yang dilihat hari ini membuatkan perasaan bersangka baik dia itu mula goyah.
        Hari ini bukannya setakat curi pandang malah si abang merenung Jazleen macam nak ditelannya gadis itu. Tambah pula dengan Layla yang tiba-tiba buat perangai. Kak Layla yang selama ini lembut cakapnya tiba-tibabermulut langsi macam itu. Siapa tak pelik?
        “Betulkan, kau dah kenal dengan along sebelum ni?” Dia nakkan jawapan dari Jazleen malam ini. Kalau tidak, mahu juga dia tidak lena tidur.
        Jazleen angguk. Tak tipu! Kan ke Ady dah kenalkan masa kali pertama dia ke sini dulu? Jadi secara teknikalnya memang dia dah mengenali Zayn sebelum malam ini.
        “Berapa lama dah?”
        “Err…” Jazleen angkat jari, buat kira-kira. “Tambah tolak…adalah dalam seminggu!”
        “Jazleen!” Suara Ady dah naik satu nada tinggi. Tak puas hati gayanya bila terasa Jazleen tengah main-mainkan dia.
        “Laa… betul apa. Last time aku datang sini, kan kau dah kenalkan aku dengan abang kau tu. Lupa?”
        “I’m serious, Jaz.”
        “I’m serious too.” Ada rupa main-mainkah?
        Ady dah mengeluh. Bahu Jazleen ditolak perlahan, isyarat supaya Jazleen beri dia ruang untuk duduk di sebelah Jazleen. Dengan tangan bersilang di dada, dia toleh pandang Jazleen.
        “Am I missing something here?”
        “Maksud kau?”
        “Kau dan along. Kau orang pernah kenal dulu kan?”
        “Mengarut!” Jazleen ketawa dibuat-buat. Pandangan terus menghala ke depan. Big mistake! Zayn tengah tenung dia macam singa lapar. Terus dia kalih pandang wedges di kaki. I seriously need new shoes!
        “Jangan main-mainlah Jaz. Apa yang aku nampak tadi bukannya perlakuan orang baru berkenalan. Sekarang ni pun, kenapa yang along pandang kau macam orang tak puas hati? Apa yang jadi sebenarnya ni? And please don’t lie to me!”
        Jazleen mengeluh panjang. Kalau tidak kerana nada suara Ady yang separuh merayu, dia akan teruskan juga menipu. Tapi lama mana pulalah dia mampu merahsiakan perkara sebenar dari Ady? Lambat laun Ady akan tahu juga memandangkan mereka memang berkawan.
        “Aku akan cakap sekali saja. Lepas ni jangan tanya aku apa-apa lagi, faham? It ends here.”
        Ady mengangguk. Buat ketika ini, dia terima syarat Jazleen itu. Tapi lepas-lepas ini kalau ada lagi benda yang buat dia tertanya-tanya, dia tak akan berhenti bertanya.
        “I used to know him back in Penang. Time aku tengah study. We fell in love, it didn’t go well, we broke up. End of the story.”
        Whoa! Ternganga Syed Adlan dibuatnya. Along dengan Jazleen pernah bercinta? Lepas itu hubungan itu tidak berjaya dan mereka putus? Dia yakin, kisah cinta Jazleen dan Zayn bukan setakat itu sahaja. Mesti ada sesuatu yang terjadi. Kalau tidak, takkanlah reaksi abang sulungnya sampai jadi begitu bila ternampak Jazleen.
        Ady mencongak. Jazleen datangnya dari Penang. Walaupun bukan anak jati Penang betul sebab keluarga dia berhijrah ke sana dari Kuala Lumpur, tapi setiap kali mengenalkan diri Jazleen mesti sebut dia dari Penang. Seingatnya, along ke Penang tiga tahun lepas. Pergi bekerja dengan firma arkitektur bapa saudara mereka di sana. Tak lama pun. Lebih kurang setahun saja. Masa itu along baru balik dari UK. Itupun lepas jenuh mama pujuk along balik bekerja di Malaysia. Kalau ikutkan alongnya, memang nak teruskan bekerja di UK saja.
        Balik Malaysia, duduk seminggu di Kuala Lumpur, along terus beritahu dia akan bekerja dengan syarikat Ayah Teh Rashdan di Penang. Masa pergi ke Penang, alongnya elok lagi. Boleh dibawa bergurau, boleh dibawa berbual. Walaupun tak semesra sebelum dia ke Edinburgh dulu, tapi boleh lagilah dia nak bergurau senda dengan along. Tapi balik sahaja dari Penang, memang berbeza sungguh sikapnya.
        Jangan kata nak bertepuk tampar, nak buat lawak tak berapa cerdik depan along pun tak boleh. Kalau angin dia baik, dia pakat jelling je bila Ady buat lawak bodoh itu. Tapi bila sampai angin dia tak baik, siap kena jerkah lagi.
        Bila difikir-fikir semula, memang tak salah telahan dia. Memang ada sesuatu yang berlaku pada Zayn sewaktu di Penang dulu. Dan sesuatu itu pasti melibatkan Jazleen.
        “Jaz…”
        “No, Ady. End of story. Jangan tanya aku apa-apa lagi.”
        “Tapi…”
        Jazleen toleh pandang Ady. “Aku sayang kau. Aku tak nak berbohong pada kau. Tapi kalau kau terus-menerus bertanya, tak mustahil aku berbohong. Trust me, Ady. The less you know, the better.”
        Bukannya dia tak nak berterus-terang. Tapi kalau dia berterus-terang, dia terpaksa ceritakan perkara yang lain-lain juga pada Ady. Ada perkara dalam hidup dia yang patut kekal sebagai rahsia sahaja. Sebab bagi dia, kebenaran itu tak akan bawa apa-apa makna pada dirinya.
        “Ok. Fine. Aku cuma nak tahu satu perkara saja…”
        “Apa dia?” Malas-malas dia bertanya. Tanyalah, belum tentu dia akan jawab.
        “Siapa yang putuskan? Kau atau dia?” Dia perlu tahu jawapan itu sebab jawapan itu sedikit sebanyak boleh memberi dia jawapan kepada perubahan si abang.
        “Angah…Kak Jaz, jom main fireworks?”
        Belum sempat dia menjawab, nama mereka diseru Adila. Save by Adila! Tak tunggu lama, Jazleen bangun nak mendapatkan Adila yang sedang berdiri dengan Danial, Rio dan Hairul. Tapi sempat juga Ady tarik lengan dia sebelum dia sempat melangkah.
        “You still owe me an answer…”
        Jazleen senyum tawar. “Dia…aku. Apa bezanya, Ady? Kesudahannya tetap sama…” Dia tetap hilang cinta Zayn.
        Jazleen terus menapak ke arah Adila yang tengah teruja dengan beberapa  jenis bunga api dan mercun.
        “Mana dapat ni?” Bulat matanya melihat himpunan bunga api di atas rumput. Bukankah benda ini semua masuk kategori bahan larangan. Silap-silap boleh kena tangkap dengan polis.
        “Stok raya tahun lepas. Konon nak pulun main masa malam raya. Tapi Jiji, anak buah kami, jari terkena api masa main bunga api. Terus tok dengan mak tok suruh berhenti main. Terpaksalah simpan…”
        Jazleen ketawa. Dah besar panjang pun takut dengan tok dan mak tok lagi?
        Dapat mengagak Jazleen sedang ketawakan mereka yang takut dengan tok dan mak tok sendiri, Hairul lekas-lekas menyampuk.
        “Eh… Jaz jangan gelak. Jaz belum jumpa tok dengan mak tok lagi. Dalam cool dia orang tu, sekali kena jeling, boleh bergetar kepala lutut tau.” Hairul buat aksi orang menggeletar ketakutan.
        Kali ini Danial, Rio, Adila dan Ady yang dah menyertai mereka turut sama ketawa.
        Adila menyerahkan kepadanya beberapa batang bunga api. Di atas meja, ada dua buah pelita yang dah siap dinyalakan. Bila melihat Zayn dan Layla dah mara menghampiri mereka, cepat-cepat Jazleen capai satu pelita dan bawa lari jauh sedikit dari mereka. Dia dapat rasa renungan tajam Zayn tapi sebolehnya dia buat tak tahu.
        Sedang asyik ralit bermain bunga api sendirian di sudut halaman rumah besar itu, tiba-tiba dia terasa ada seseorang datang menghampirirnya.
        “May I join you?”
        Kalau cakap tak boleh, nampak sangat kurang ajarnya. Tapi nak jawab, silakan, rasa macam menjerut leher sendiri sahaja.
        Macam tahu-tahu yang dia keberatan, Rio cepat-cepat bersuara.
         “Hey, chill. I promise I won’t ask you anything. Cuma nak join you main bunga api, je. Boleh?”
        Jazleen serba salah. Mata pandang Rio kemudian pandang ke arah kumpulan manusia berhampiran mereka. Bila pandangan berlaga dengan pandangan tajam Zayn, perasaan serba salahnya menjadi bertambah kuat. Dah kenapa pula aku nak rasa bersalah ni?
        “Jangan risau. Dia tak akan berani nak buat apa…”
        “Huh?” Terkebil-kebil dia pandang Rio, tak faham dengan maksud lelaki itu.
        “Kalau you takut Zayn mengamuk, jangan risaulah. Dia tak akan berani nak buat apa-apa dengan keadaan orang ramai macam ini. Silap-silap kena soal siasat dengan auntie dan uncle. Elok-elok benda tu rahsia, terus terbongkar…”
        “Benda tu?”
        Apa maksud Rio ni?
        Rio ketawa kecil. “You know what I mean, Jazleen. Do you need me to spell it out for you?”
        Jazleen terdiam. Terasa macam Rio nak permainkan dia saja. Sudahnya dia bisukan diri, layan bunga api.
        “Look, for your sake, end it with Ady.”
        Jazleen dah tarik nafas geram. Zayn buat permintaan, dia boleh terima. Dah tentu-tentu abang kepada Syed Adlan. Tapi mamat rambut pacak ni apa hal pulak yang nak campur urusan hidup dia?
        “Who are you?” Mode nak jadi perempuan cakap lepas dah mula masuk.
        “Huh?” Rio buat muka terpinga-pinga.
        “You ni siapa? My brother? Ady’s brother? Seingat I tadi, auntie kenalkan you sebagai kawan Zayn. Jadi apa hak you nak suruh I putuskan hubungan dengan Ady?”
        Habis sinis dia bertanya. Janganlah cari pasal dengan dia kalau dia tak ada buat apa-apa. Memang kepantangan betul!
        “Apa saja yang I buat, tak ada kena mengena dengan you. Sebabnya senang saja, antara kita bukannya sesiapa sampai you kena masuk campur urusan I. I know what I’m doing dan selagi tak mendatangkan mudarat kepada orang lain, I tak rasa apa yang I buat tu salah. So, with all due respect, stay out my business.”  
        Sisa bunga api dibuang ke lantai. Baru beberapa langkah dia bergerak, Rio seru nama dia.
        “Kalau you bersama dengan Ady, bermakna you akan jadi sebahagian daripada keluarga ni. Can you honestly tells me, you can be near Zayn without breaking down? Hmm?”
        Kaki Jazleen terkaku tiba-tiba. Gaya cakap macam Rio risaukan dia. Apahal dengan lelaki ni?
        “Can you honestly tells me you can get along with Zayn? Boleh you jamin perasaan lama antara you berdua tak wujud lagi?”
        Can I? Belum sempat dia hendak menjawab, tiba-tiba iPhonenya bergetar dari dalam poket seluar.
        Telefon dikeluarkan dan melihat nama yang muncul, laju jari menyapu skrin.
        “Hello? Mak Cha?”
        Dan apa sahaja yang disampaikan oleh Mak Cha di hujung talian buat dada Jazleen berdebar hebat.
        “Saya balik sekarang!”
        Dia terus berlari ke Ady.
        “Ady, aku kena balik.”
        “Kenapa ni? Apa yang dah jadi?” Risau Ady melihat wajah panik Jazleen.
        “Aku kena balik…” Tolonglah faham bahasa tubuh dia. Dia tak nak orang lain tahu.
        Faham dengan riak muka Jazleen, Ady mengangguk walaupun dia tak tahu secara terperinci apa yang terjadi. Yang dia tahu, ia pasti ada kena mengena dengan orang di rumahnya. Bukan pertama kali Jazleen tiba-tiba nak balik ke rumah macam ini.
        Selepas meminta diri dari semua, mereka terus ke kereta Ady. Pertanyaan dari Zayn pun tidak diendahkan. Dia tahu, Zayn marah tapi dalam waktu begini, ada perkara lain memerlukan perhatian dia. Bukannya amarah dari Zayn.
        Setengah jam kemudian, kereta yang dipandu Adi tiba di hadapan rumah teres setingkat sewaan Jazleen. Sebaik sahaja kereta Ady berlalu pergi, Jazleen cepat-cepat masuk ke dalam rumah.
        Masuk sahaja ke dalam, dia ternampak kelibat seorang wanita yang seusia dengan ibunya sedang mengutip serpihan pinggan pecah di atas lantai. Throw pillow yang selama ini elok tersusun di atas sofa dah bersepah-sepah di atas lantai. Beberapa buah buku di rak buku ada di atas lantai. Jazleen mengeluh lemah.
        “Mak Cha…”
        Mak Cha tersenyum nipis memandang Jazleen.
        “Salah Mak Cha. Dia tak nak makan, Mak Cha paksa dia makan. Lepas tu dia naik angina. Bukan apa, Jaz. Dari pagi dia tak nak makan. Mak Cah risau kalau gastrik dia datang…”
        Jazleen senyum faham. Dia tak salahkan Mak Cha. Wanita itu cuma menjalankan kerja dia. Nak salahkan si dia yang mengamuk pun tak boleh sebab memang azalinya dia begitu.
        “Mak Cha pergilah rehat. Kejap lagi Jaz kemas.” Seharian Mak Cha kena mengadap si dia. Pati penat hendaknya hari ini dia buat perangai tantarum dia.
        “Eh...tak apa. Sikit lagi ni. Jaz pun mesti penat kan? Pergilah tengok dia.”
        “Dia makan tak Mak Cha?”
        Mak Cha menggeleng. Jazleen pasang langkah ke dapur. Segelas susu suam disediakan bersama dua keeping sandwich telur. Kemudian dia bergerak menuju ke bilik bersebelahan dengan biliknya. Perlahan daun pintu ditolak. Kelibat seorang kanak-kanak lelaki yang sedang duduk di atas katil menyapa pandangan.
        “Ariq…”
        Ariq angkat kepala memandangnya. Senyuman lebar terbit di wajah comel itu.
        “Mummy!”
        Jazleen senyum segaris. Inilah dia, madu dan racun dalam hidupnya.
Muhammad Ariq Abdullah.

No comments:

Post a Comment